Followers

Wednesday, October 1, 2014

Realiti Yang Tidak Dapat Disembunyikan



Salam Alaik.

Sehingga ke hari ini, sudah 4 tahun belajar medik Satu tempoh masa yang panjang tetapi sangat sekejap apabila difikirkan balik sebenarnya. Dalam tempoh 3 tahun lagi, mungkin akan bergraduasi sebagai seorang graduan perubatan Universiti Zagazig, Mesir. Siapakah yang tahu apakah yang berlaku dalam tempoh masa 3 tahun ini? Mungkin dipanjangkan umur. Mungkin juga tidak.

Mengimbau kembali beberapa tahun yang lepas, mungkin semasa Tingkatan 1-3, bidang medik jelaslah bukan pilihan utama. Masih teringat lagi ketika, ruangan cita cita ditulis dengan perkataan detektif penyiasat  pada pilihan pertama, chef pada pilihan kedua dan juga pelukis& sasterawan  pada pilihan ketiga. Jauh berbeza jika dibandingkan hala tuju yang sedang dilalui ketika ini. Tiga ratus enam puluh darjah berbeza.

Ketika Tingkatan 1 dahulu, sudah beberapa cerpen dituliskan dan cerpen yang ditulis itu mendapat pujian cikgu ketika itu. Terasa bersemangat untuk menjadi seoarang penulis. Mungkin kemuncaknya adalah ketika Tingkatan 4, semasa berada di Kolej Islam. Ketika itu penghujung tahun Tingkatan 4. Peperiksaan akhir sudah pun tamat dan keputusan juga telah diketahui. Bagi mengisi kelompongan masa sebelum bermulanya cuti panjang musim sekolah telah diadakan Bengkel Penulisan bersama Faisal Tehrani. Sempat juga diri menghantar 2 cerpen yang dibuat pada malam sebelumnya kepada beliau untuk dibaca.

" Cerita yang ditulis oleh pelajar ini sangat menarik"

Masih terngiang ngiang lagi katanya itu sehingga ke hari ini. Implikasinya, ia makin menyemarakkan lagi rasa dan semangat untuk menjadi seorang penulis.

Ketika berada di Tingkatan 2 juga,mungkin akibat pengaruh manga Jepun yang meluas ketika itu, pernah juga melukis komik 20 muka surat. Terfikir juga untuk terlibat secara serius dalam bidang lukisan dengan mengeluarkan komik bersiri setaraf mangaka Jepun yang terkenal.

Mengenang kembali masa dahulu mengenai diri sendiri terasa satu kenangan yang sukar dilupakan.

Mungkin masih tertanya tanya bagaimanakah daripada berimpian menjadi seorang penulis & pelukis bertukar arah menjadi seorang doktor?

Jelas sekali pilihan Tuhan itu sangat cantik dan tersusun. Kerjaya doktor satu masa dahulu merupakan kerjaya yang paling tidak diinginkan.Paling bukan berada dalam senarai pilihan. Dan, terasa masih lagi tercari cari definisi dan makna sebenar menjadi seorang doktor dalam diri ini.

Pernah bertanya kepada beberapa orang lain mengenai soalan ini.

"Mengapakah kau nak jadi doktor?"

Dan sudah semesti jawapanya berbeza mengikut tafsiran masing masing. Ada yang menjawab kerana ianya cita cita, ada yang berkata ianya kerana terpaksa, ada yang membalas untuk menegakkan agama Islam dan bermacam macam jawapan lagi.

Apa pun jua sebab yang di lontarkan untuk mengiakan tindakan kita menjadi doktor, tidak dapat tidak sudah terpundak seakan satu beban dan tanggungjawab sebaik sahaja bergelar seorang pelajar perubatan dan lebih penting lagi seorang doktor.

Bukanlah hak kita untuk bersikap lewa ketika belajar kerana kelak di tangan kitalah mungkin beribu nyawa menjadi pertaruhan. Tidak kisahlah atas alasan apa sekalipun untuk menjadi seorang doktor, mahu atau tidak tanggungjawab yang terbentang di hadapan mata mestilah dipenuhi.

Mungkin ramai yang tidak mengerti, tetapi perlu juga harus dilalui.

Akhirnya jua, kita adalah manusia yang tidak dapat lari.

Bukankah?














No comments: