Followers

Saturday, August 22, 2015

Budak-budak

Dahulu semasa kecil mesti kita ada kawan-kawan yang kita sangat rapat. Merekalah yang mengajak kita bermain-main setiap petang, menaiki basikal mengelingi taman perumahan bersama dan banyak lagi memori yang tersimpan kemas dalam minda kita.

Tambahan pula, kita dan kawan-kawan kita itu sama sekolahnya. Kalau sebaya, mungkin sekelas. Jadi tidak hairanlah jika hubungan kita dan kawan-kawan kita itu menjadi sangat akrab sehinggakan ibu dan ayah kita juga turut mengenali kawan-kawan kita itu. Kadang-kadang, kenakalan kita menjadi buah mulut jiran. Bukanlah nakal, cuma di usia kanak-kanak, apalah sangat pertimbangan yang mampu dilakukan. Apa yang penting hati seronok dan perut kenyang. Itu sudah cukup memberikan erti kebahagian kepada seorang kanak-kanak.

Dulu semasa masih budak-budak, bukanlah seorang yang mempunyai ramai kawan sangat kecuali anak-anak jiran terdekat dan kawan-kawan sekolah. Akan tetapi tidaklah pernah pula sampai dilarang tidak boleh keluar bermain. Cuma kena sentiasa berpada-pada. Pukul 6 sudah mesti pulang rumah. Kalau tidak, bersedialah dibebel. Bebelan yang bukannya kejap. Kadang-kadang sampai melarat hinggakan tidak boleh keluar bermain untuk hari seterusnya.

Zaman budak-budak memang bahagia. Tidak perlu memikirkan masalah. Makanan pula tersedia di meja makan. Kalau adapun, mungkin masalah tidak dibenarkan keluar bermain atau dimarahi kerana keputusan peperiksaan merosot.Begitu sahajalah justifikasi kanak-kanak. Orang-orang tua yang menyediakan segalanya. Tidak perlu risau.

Dulu, mungkin kita biasa terdengar

"Jangan tipu. Kalau tipu masuk api neraka. Ayoo"

Budak-budak memang mudah jujur. Kalau kita tipu, terus diingatkan tentang api neraka. Lalu, kita pun menjadi takut. Apatah lagi, di sekolah ustaz-ustazah bersungguh-sungguh menceritakan tentang azab api neraka. Api yang menyala-nyala kemudian hangus membakar diri. Mendengarkan sahaja sudah cukup menjadi seriau. 

Kalau yang advance, mungkin telah berputik bunga-bunga cinta antara rakan sekelas. Biasanya, yang paling pandai lelaki akan dipadankan dengan yang paling pandai perempuan. Macam-macam lagi jenis padanannya. Sampaikan jadi bahan bualan sekelas. Memang malu dibuatnya. Lagi memalukan, jika kawan sekelas dapat tahu siapa crush kita. Memang masa itu terasa nak sembunyikan diri di gua paling dalam pernah wujud.Apapun, itulah zaman budak-budak.

Mahu atau tidak, usia semakin bertambah dan makin tua. Jika dahulu realiti kehidupan hanya sekadar berkisar kepada permainan sahaja sekaranglah realiti mula menjelma.Apapun, bersyukurlah pernah menjadi seorang budak kerana itulah yang menjadikan kita dewasa.
*

Mungkin hiatus sudah tamat?

:)

1 comment:

Web Services said...

Nice post. thanks for the shared it with us. web design template wordpress