Followers

Tuesday, December 1, 2015

Phoenix

*

" Jangan kau gentar pada bayang-bayang sendiri 
Di sebalik pahit getir kemenangan menanti 
Bagaikan burung Phoenix bangkit dari abu 
Bangkit membina (semula) satu keindahan (baru) 
Phoenix bangkit  "

(Petikan lirik daripada lagu Phoenix Bangkit dari Abu, M Nasir)

Phoenix adalah merupakan satu haiwan dalam mitos lagenda serata dunia. Ia dikatakan mempunyai bulu yang bewarna merah keemasa dan mampu hidup ratusan hinggalah ribuan tahun. Setelah itu, phoenix akan membakar dirinya sendiri dan akan muncul phoenix yang baru daripada abunya itu. Satu kitaran yang berulang-ulang.

Regenerasi.

Regenerasi adalah satu proses kelahiran semula. Ianya boleh terjadi secara biologikal atau yang paling penting, rohaniah. Regenerasi secara biologikal boleh sahaja terjadi kepada haiwan seperti cicak yang mampu menumbuhkan kembali ekornya. Begitu juga dengan manusia, mampu beregenerasi apabila terjadinya kecederaan.

Akan tetapi, regenerasi secara rohaniah adalah satu proses yang sukar, tidak seperti regenerasi secara biologikal. Apabila berkata mengenai rohaniah, ianya adalah satu perkara yang susah untuk diukur secara emprikal. Apakah sahaja ada indikator di dunia ini yang boleh digunakan untuk mengukur kekuatan rohaniah seorang manusia itu? Sudah tentu tiada secara emprikalnya.

Manusia biasa sahaja berada dalam kegagalan dan kedukaan. Itu adalah intipati kehidupan, di mana manusia hanyalah seorang manusia. Tidaklah mampu mencapai marhalah kesempurnaan seperti Tuhan. Oleh itu, tidak hairanlah jika manusia itu hayat hidupnya akan biasa sahaja menemui kegagalan. Kegagalan, kedukaan jua kekecewaan itulah yang menjadikan seseorang itu manusia,

Persoalan yang utamanya ialah bagaimanakah seorang manusia itu bangkit daripada kegagalannya? Bagaimanakah ia menewaskan tempoh gelapnya. Itulah yang perlu dijawab secara tingkah lakunya oleh manusia. Ada sahaja yang mudah putus asa apabila menemui kekecewaan. Ada juga yang mahu  diri berputus nyawa apabila kegagalan menjengah. Mudah sahaja untuk melarikan diri apabila menemui halangan dan jalan buntu. Akan tetapi begitukah yang seharusnya?

Kegagalan. Kekecewaan. Kedukaan, Kesedihan.

Itu semua hanyalah satu makna yang sama, hanya berlainan wajah dan manifestasinya. Semuanya bertujuan sama untuk membawa manusia untuk terduduk dan putus asa daripada kehidupan. Ianya ujian yang perlu ditempuhi oleh setiap manusia. Tiada terkecuali juga manusia-manusia beragama seperti Muhammad, Jesus Christ, Gautama Buddha ataupun sesiapa sahaja. Setiap orang punya ujiannya yang tersendiri. Kegagalan akan sentiasa menjengah dibalik bayang-bayang. Menunggu masa untuk menelan sahaja sesiapa yang tidak cukup ampuh untuk bertahan.

Phoenix, lambang keabadian. Lambang kelahiran semula.

Walau tiadalah diketahui sama ada phoenix itu benar-benar wujud atau hanya mitos yang menjadi bualan masyarakat manusia serata dunia, akan tetapi manusia perlu menjadi phoenix dan membenarkan kewujudan phoenix itu dalam diri sendiri. Wujudkan phoenix dalam diri sendiri tanpa mengharap mitos itu terjadi sendiri.  Itu adalah yang sepatutnya,

Apabila menemui jalan buntu dan kegagalan yang merintang, manusia itu perlu bangkit dan lahir semula. Kelahiran semula yang hanya mampu dilakukan apabila rohaniahnya cukup ampuh untuk lahir semula daripada abu-abu kegagalan. Jika seni kelahiran semula ini berjaya dikuasai, tidak kisahlah berapa kali pun kegagalan datang untuk cuba menghambat, tidak akan pernah manusia itu terjatuh dalam ruang gelap yang cuba dilakukan oleh kegagalan.

Jadilah seperti phoenix.

Sentiasa lahir semula dan semula.

*

No comments: