Followers

Wednesday, December 2, 2015

Pilihan



*
 Ketika kecil dahulu, mungkin kita pernah disuakan dengan soalan,

"Nak mainan itu atau yang ini? Pilih satu sahaja"

"Nak makan yang mana? Nak beli satu sahaja"

Tiada sedar, semenjak kecil lagi kita diminta untuk membuat pilihan. Memilih satu daripada yang dua dan berganda-ganda pilihannya. Mungkin nampak remeh akan tetapi pilihan yang terpaksa dibuat seakan-akan menjerut diri kerana terpaksa mengorbankan hasrat terhadap yang satu apabila sudah memilih satu yang lain. Begitulah bermulanya kisah manusia dengan pilihan.

Menginjak usia, pilihan yang harus dilakukan bertambah banyak dan tak kurang juga semakin susah Ada sahaja pilihan yang perlu dibuat selaras dengan perkembangan usia. Tidak pernah mampu melarikan diri daripada membuat pilihan yang satu antara dua.

"Mahu sekolah SBP atau MRSM?"

 Begitulah susunnya. Sentiasa berterusan pilihan yang perlu dibuat. Terpaksa memilih yang satu antara dua sedangkan hati meronta-ronta untuk mendapatkan kesemuanya. Hakikatnya, mustahil. Tidak mungkin kita mampu untuk memiliki semua yang ada di hamparan dunia ini. Kita adalah manusia, Manusia itu bukannya Tuhan, yang memiliki semuanya.

Akan sampai satu ketika, pilihan yang terpaksa kita buat adalah berdasarkan kebahagian kita pada masa hadapan. Pilihan yang bakal menentukan arah tuju hidup kita selepas ini.Itu adalah pasti.

Pilihan untuk menyambung ilmu.

Pilihan untuk memilih pekerjaan.

Pilihan untuk mencari teman hidup, yang bakal dikongsi segala rasa hingga ke akhir hayat.

Akan ada satu ketika dalam fasa kehidupan kita, kita perlu untuk memilih siapakah yang bakal dikongsi segala rasa yang ada bersama? Bukanlah pilihan yang mudah sekiranya bukannya hanya satu sahaja yang terlintas dalam fikiran.

Memilih manusia bukanlah satu perkara yang mudah. Malahan, ianya susah dan tidak mudah didapati jawapannya sehari dua malahan boleh melangkau beberapa purnama. Manusia bukanlah seperti mainan-mainan yang perlu kita pilih semasa kecil dahulu. Tiadalah perasaan dan jiwa mainan-mainan itu, sedangkan manusia pula berperasaan dan juga berjiwa, Tidak sekadar diam kaku seperti mainan-mainan yang mengukir senyuman sejak azali penciptaannya.

Tiadalah usah dirisau berlebihan semasa dalam membuat pilihan, kelak takut ia akan memakan diri sendiri. Sudah tentu yang perlu dilakukan ialah mula bertenang dalam memilih. Usah dianggap hanya berseorang dalam membuat pilihan, apabila Tuhan sentiasa ada untuk membantu. Tidaklah Tuhan itu melainkan DIA suka apabila hamba-Nya menundukkan jiwanya, meminta petunjuk disebalik kegelisahan manusia itu sendiri dalam membuat pilihan. Jika itulah yang dilakukan, nescaya Tuhan tidak akan terlepas pandang dalam memberikan mungkin sedikit hikmah-Nya kepada kita.

Dalam memilih, usahlah terburu-buru dan berlebihan dalam kalau. Takut membuka ruang kepada Syaitan untuk menguasai hati. Usahlah dilupakan yang tidak pernah Syaitan itu pernah mengalah hinggalah tibanya sangkakala kiamat. Bertenang dan sentiasa meminta harap agar diberikan ketenangan dan jua keyakinan.

Usah takut dalam membuat pilihan. Ianya hanyalah satu cabang kecil daripada fasa-fasa kehidupan. Tidak pernah kita mampu kita melarikan diri daripada membuat pilihan sedangkan Muhammad S.A.W sendiri pernah diberikan pilihan oleh Tuhan, sama ada mahu hidup kekal memegang dunia punya kunci ataupun mati bertemu Yang Abadi.

Pilih.

Hidup ini memang penuh dengan pilihan. Maka, yakinlah.

No comments: