Followers

Tuesday, December 8, 2015

Surat kepada Kamu



Kepada kamu,

Nukilan ini harapnya memberi manfaat sampai bila-bila.

Bukan mudah hidupnya di dunia ini. Tidak dapat tidak, banyak cabaran yang akan kita tempuhi sama ada kita sedar ataupun berlalu tanpa kita sedari. Tidak dapat kita menduga ujian dan juga cabaran yang akan kita lalui, kerana ianya merupakan perancangan Tuhan, sebaik-baik perancang. Akan tetapi sebagai manusia, setiap perkara yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Persoalannya, sama ada kita mampu memahami hikmah tersebut atau tidak.

Apabila mendapat dugaan dan juga dirundung kekecewaan, usahlah bersedih. Ukirkan senyuman tanda kitatidak mudah mengalah. Walau mungkin senyuman itu hanyalah satu lapisan nipis untuk melindungi segala kekecewaan dan kesedihan yang ada, paksalah diri untuk cuba tersenyum. Biarlah orang melihat yang kau itu kuat dan tidak mudah di-alahkan. Tidak mudah mengalah walaupun banyak sekali  ujian dan juga cabaran yang datang.

Tiadalah kita hidup ini sebagai Tuhan, yang mempunyai segala-galanya. Ada batasnya kita sebagai manusia, Tiadalah semua mampu kita perolehi melainkan ada jua yang kita tidak berjaya memilikinya. Maka usahlah kecewa dan terasa jika ada benda yang kita tidak mampu milikinya, Itu adalah takdir kita sebagai manusia. Tuhan memberikan kita apa yang kita perlu dan sesuai dengan diri kita, bukanlah apa yang kita mahu. Maka sebagai manusia, perlulah kita menerima dan bersyukur seadanya kerana apa yang kita dapat itu ialah yang terbaik untuk diri kita.

Mungkin ketika ini ramai yang berada di sisi kita, tetapi akan ada satu ketika yang kita akan keseorangan tiada sokongan di sisi. Orang yang mewarnai hidup kita selama ini mungkin akan hilang dan pergi dengan pelbagai sebab. Ketika itu, kita akan merasakan betapa sunyinya dan gelapnya dunia. Terasa tiada upaya untuk meneruskan hidup. Usah bersedih dan meratap hiba. Walau semua orang pergi, usahlah dilupakan Tuhan itu sentiasa ada bagi mereka yang sentiasa berharap dengan-Nya. Dia-lah sebaik-baik peneman bagi mereka yang hatinya sentiasa hidup dengan ingatan kepada-Nya.

Hidup ini ialah sesuatu yang misteri. Tiadalah kita mengetahui apa-apa yang bakal berlaku di masa hadapan. Oleh itu, sentiasalah memohon agar diberikan kemudahan dalam menghadapi sehari-harian. Mungkin ada harinya kita mendapat kegembiraan tiada terkata. Maka semestinya ada juga hari dan ketika dimana kita akan menerima pelbagai dugaan dan kesedihan yang tidak terungkap oleh kata. Ketika itulah perlunya kita menilai kembali diri kita. Muhasabah yang berterusan itu perlu bagi memastikan diri kita ini mengenal siapa sebenarnya diri kita ini.

Dalam hidup ini, perlunya kita membuat pilihan untuk kehidupan kita. Banyak perkara yang perlu kita pilih dan buat neraca pertimbangam. Ketika berhadapan dengan situasi dimana pilihan perlu dibuat, mintalah pada Tuhan diberikan ketenangan, keyakinan dan juga kesabaran. Ketenangan dalam memutus kata dua, keyakinan dengan apa yang diputuskan dan juga kesabaran dengan pilihan yang kita pilih. Begitulah hukumnya, Mintalah pada Tuhan dan juga mintalah pandangan dengan mereka yang sebaiknya. Mudah-mudahan, pilihan yang dibuat itu adalah yang terbaik.

Hiduplah dalam neraca-Nya,
Nescaya bahagia sentiasa.

Hidup itu mudah-mudahan,
Mati itu pasti.

Yang benar,

Diri ini.

No comments: