Followers

Thursday, March 24, 2016

Refleksi

Assalamualaikum.

Jika dilihat kembali kepada archive blog ini, post-post berkaitan cinta,perasaan dan kahwin boleh kira tahan banyaknya juga. Memang tidak dapat dinafikan yang perasaan cinta itu adalah fitrah bagi setiap manusia. Rasa ingin disukai dan juga menyukai. Lebih-lebih lagi dalam tempoh ketika usia ini menginjak remaja dan juga dewasa. Rasa itu membuak-buak. Kadang sehingga menyebabkan diri tidak keruan dan kurang siuman. Dalam fikiran dan hati asyik terbayang-bayang ibaratnya sudah terkena penangan dadah yang menyenangkan.

Mengimbas kembali kehidupan ini, ada sahaja  mereka yang pernah hadir ke dalam hidup ini. Gembira atau duka itu adalah satu perkara yang berbeza. Cuma persamaannya ialah, mereka ini membawa hikmah dan memberikan ruang pembelajaran dan pengajaran dalam kehidupan. Walau mungkin cerita antara mereka ini berbeza kepada kita tetapi sedar ataupun tidak, mereka itulah yang sedikit sebanyak membentuk dan mencorak pemikiran dan tingkah laku kita. Seharusnya apresiasi diberikan kepada mereka sebaiknya tanpa ada sebarang perasaan benci mahupun dendam. Bukankah kasih sayang dan berbelas ihsan itu merupakan ketenangan jiwa?

Jika dahulu kebahagian diri yang difikirkan terlebih dahulu berbanding orang lain. Akan tetapi menginjak masa, kebahagian diri itu hadir apabila hati dan jiwa ini mempunyai sifat pengorbanan yang tinggi. Kebahagian yang diperolehi oleh diri mungkin datangnya daripada kebahagian yang lain. Begitulah jiwa orang yang besar. Tidak mudah berkecil hati dan berduka, malahan gembira apabila melihat orang-orang lain bahagia. Itu adalah kebahagian bagi diri mereka. Senyuman di muka orang lain itu yang memberikan kekuatan kepada mereka dan tenaga untuk mereka terus hidup. Walaupun kadang-kadang pengorbanan mereka itu dibalas dengan nista dan keji, tetapi mereka tidak kisah. Ini kerana apa yang dicari oleh mereka ini ialah rahmat daripada Allah.

Dalam kehidupan ini, kita tidak akan pernah lari daripada melakukan kesilapan. Tersilap kelakuan, tersilap percaturan dan juga tersilap membuat keputusan. Hakikatnya itu ialah yang membentuk diri manusia. Penuh dengan kesilapan yang selayaknya sebagai hamba Tuhan. Akan tetapi daripada kesilapan yang dilakukan itu, akan lahirnya tunas-tunas harapan dan juga kemaafan. Seharusnya, kesilapan yang dilakukan itu menjadi panduan kepada diri dalam menghadapi cabaran kehidupan yang tidak pernah kita ketahui bagaimana rupa bentuknya.

Usah berhenti.

Usah mengalah.

Akan tiba jua masanya diri kita ini mendapat kebahagiannya.

:)

No comments: